Isnin, 4 Mei 2009

PERANGI LUMBA HARAM........

Orang ramai kena bantu banteras lumba haram

BERMULA 1 Mei lalu, polis melancarkan operasi bersepadu secara besar-besaran untuk menangani kegiatan lumba haram dan jenayah membabitkan pengguna motosikal. Operasi itu bakal berlangsung selama tiga bulan. Sama-sama kita membantu pihak polis agar usaha ini dapat mengurangkan gejala lumba haram.

Orang ramai boleh membantu dengan menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan memaklumkan lokasi lumba haram atau mengawasi dan menasihati anak masing-masing atau sanak saudara supaya menghindari kegiatan berkenaan.

Kegiatan lumba haram dan gejala mat rempit yang semakin menjadi-jadi menimbulkan kegelisahan dan kebimbangan anggota masyarakat. Tambahan pula, mereka yang terbabit adalah remaja belasan tahun.

Orang ramai juga bimbang untuk berhadapan kumpulan itu yang bertindak ganas jika ditegur.

Pihak berkuasa juga kadang-kadang turut menjadi mangsa mereka yang nampaknya tidak takut dengan undang-undang. Akhbar ini pada 1 Mei lalu turut melaporkan seorang anggota polis trafik cedera selepas dilanggar mat rempit yang cuba melarikan diri daripada 'Ops Lejang' di Lunas, Kulim, Kedah.

Tindakan polis melancarkan operasi selama tiga bulan ini juga berikutan peningkatan kemalangan yang membabitkan pengguna motosikal khususnya golongan muda terutama yang masih bersekolah.

Sikap masyarakat yang kurang prihatin juga menjadikan masalah itu semakin serius.

Orang ramai tidak menganggap masalah itu sebagai masalah sendiri selagi tidak ada ahli keluarga yang terbabit sehingga tidak mahu membuat laporan jika melihat kegiatan lumba haram di kawasan masing-masing.

Keadaan itu menyebabkan polis sukar untuk menahan mereka yang terbabit dalam kegiatan negatif berkenaan.

Antara tindakan yang sangat penting untuk dilaksanakan bersama ialah mendidik golongan muda yang masih berada di bangku sekolah mengenai bahaya serta risiko yang berkaitan dengan lumba haram.

Ibu bapa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sekolah memandu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan polis perlu duduk semeja berbincang bagi tujuan mengenal pasti strategi jangka panjang untuk mendidik remaja agar menjauhkan diri daripada lumba haram.

Harapan kita semoga dalam tempoh lima hingga 10 tahun yang akan datang, negara kita bebas daripada gejala lumba haram serta kegiatan jenayah yang berkaitan seperti rompakan, samun, ragut, dan pergaduhan termasuk menyerang pengguna jalan raya yang lain.

DR SHAIFUL ANNUAR KHALID,
Pensyarah Kanan
UiTM Perlis.

Kedahlanie.blogsport.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan