Ahad, 28 Mac 2010

KAUM DIPTEROCARPACEAE

Kenali spesis pokok di Malaysia...






Adalah kaum ini berisi kebanyakkan jenis pokok kayu besar yang menjadi di dalam hutan negeri ini. Batangnya yang lazim berdamar, lagi pun kulit dan kayunya berisi damar juga. Daunnya tunggal, lazimnya tebal, aturannya bertingkat-tingkat. Bunganya sedang besar serta harum. Buahnya bulat atau bujur bulat, kebanyakkannya berkepak panjang. Adapun erti perkataan Dipterocarpaceae itu ialah "buah berkepak dua" akan tetapi ada jenisnya yang berkepak lima, dan ada juga yang tidak berkepak langsung.

 
 

Di dalam kaum ini adalah termasuk banyak jenis-jenis pokok yang kayunya banyak serupa dan lebih kurang sama tahannya. Dari itu jenis-jenis daripada kaum ini adalah dikumpulkan mengikut keadaan dan sifat kayunya. Kumpulan itu dinyatakan di bawah ini.

 
 


Meranti Merah - Red Meranti.

Kumpulan meranti ini lazimnya mengandungi pokok besar-besar belaka yang berbanir besar; batangnya merekah atau bersisik. Lazimnya semua jenis dalam kumpulan ini adalah berdamar. Kulit luar tebal; kulit dalam pun tebal, berurat-urat dan warnanya merah atau kemerah-merahan; gubalnya kuning pucat, tetapi isi kayu merah. Terkandung dalam kumpulan ini ada tiga bahagian lagi iaitu Meranti Merah Tua (Dark Red Meranti) yang termasuk pokok meranti
bukit, meranti sarang punai bukit, meranti sengkawang merah, nemusu dan seraya. Bahagian Meranti Bakau yang berisi meranti bakau sahaja, jenis ini diasingkan oleh sebab mudah diserang bubuk; dan bahagian meranti merah muda (Light Red Meranti) yang berisi pokok meranti batu, meranti bunga, meranti daun besar, meranti kepong, meranti kepong hantu, meranti langgung, meranti melantai, meranti paya, meranti pasir, meranti pepijat, meranti rambai daun, meranti sarang punai, meranti tembaga, meranti tengkawang air dan gerutu-gerutu. Jenis yang akhir ini harus diasingkan kayunya dan dijual dengan nama Gerutu, jika banyak kayunya.

 
 

Meranti Kuning - Yellow Meranti

Kumpulan meranti ini mengandungi pokok kecil atau besar. Batangnya beretak-retak, bersisik atau merekah, berdamar warna coklat atau hitam. Kulit luar nipis sahaja, kulit dalam kekuning-kekuningan, gubal berwarna kuning pucat. Rantingnya lincin, daun pun licin kecuali daun damar hitam bulu; warna daun kemerah-merahan, daun yang tua warna kuning keemasan. Terkandung di dalam kumpulan ini ialah damar hitam, damar hitam bulu, damar hitam gajah, damar katup, damar sengkawang putih, damar siput, damar siput jantan, damar telepuk.

 
 

Meranti Putih - White Meranti

Kumpulan ini mengandungi pokok besar; warna batang kelabu atau coklat tua, berdamar warna kuning pucat. Kulit luar tebal; kulit dalam berlapis-lapis. Jenis-jenis yang terkandung dalam kumpulan ini ialah meranti belang, meranti bumbung meranti jerit, meranti lapis, meranti mengkai, meranti paang, meranti pipit, meranti temak. Meranti temak nipis.

 
 

Balau berisi pokok balau gajah, balau gunung, balau hitam, balau kumus, balau kumus hitam, balau laut, balau pasir, balau bukit, balau putih, sengkawang air, sengkawang darat.

 
 

Balau merah mengandungi pokok balau merah, damar laut merah, membatu, membatu jantan.

 
 

Giam mengandungi pokok giam, giam jantan, giam lintah bukit, giam palong, giam bayan.

 
 

Malut mengandungi pokok malut sahaja.

Cengal mengandungi pokok cengal sahaja.

Kapur mengandungi pokok kapur dan keladan.

Keruing berisi lebih kurang 29 jenis keruing.


 

Merawan mengandungi beberapa jenis seperti merawan batu, merawan bunga, merawan gunung, merawan jangkang, merawan jeruai, merawan kelabu, merawan meranti, merawan penak, merawan siput, merawan siput jantan, mata kucing beledu, mata kucing hitam.

 
 

Mersawa mengandungi beberapa jenis mersawa sahaja.

Resak mengandungi beberapa jenis resak sahaja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan