Ahad, 28 Mac 2010

Vaksin oral rotarix dicemari vaksin babi

Selamatkah kita???????.........







 

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat terkejut dengan sikap mendiamkan diri oleh Kementerian Kesihatan dan GlaxoSmithKline Malaysia (GSK) berhubung meluasnya pencemaran Rotarix, vaksin oral GSK yang diberikan kepada bayi berusia kurang daripada 12 bulan untuk mencegah rotavirus yang boleh menyebabkan gastroenteritis yang membawa kepada muntah, cirit birit dan demam.

Kelompok Rotarix di seluruh dunia telah tercemar dengan bahan genetik daripada porcine circovirus jenis 1 (PCV1) – virus yang biasanya ditemui dalam babi.

 
 

Rotavirus adalah genus virus RNA dalam keluarga Reoviridae.

Ia merupakan penyebab utama cirit birit yang teruk dalam kalangan bayi dan kanak-kanak dan merupakan salah satu daripada beberapa virus yang menyebabkan Rotavirus gastroenteritis, penyakit sederhana hingga ke peringkat yang teruk dengan ciri-ciri muntah, cirit birit berair, demam dan biasanya dikenali sebagai stomach flu, ia tidak mempunyai kaitan dengan selesema.

Menjelang usia lima tahun, hampir setiap kanak-kanak di dunia ini dijangkiti dengan rotavirus sekurang-kurangnya sekali.

Bagaimanapun, dengan setiap jangkitan, imuniti akan berkembang dan jangkitan seterusnya akan menjadi kurang teruk dan orang dewasa jarang terjejas.

Terdapat tujuh spesies virus ini yang dirujuk sebagai A, B, C, D, E, F dan G, kesemuanya juga menyebabkan penyakit terhadap binatang lain. Rotavirus A, yang paling biasa menyebabkan lebih daripada 90 peratus daripada jangkitan pada manusia.

 
 

Vaksin rotavirus seperti GSK Rotarix sepatutnya untuk melindungi kanak-kanak daripada rotavirus.

Laporan media menjelaskan Rotarix diperbuat daripada rotavirus manusia yang lemah yang dibesarkan di dalam sel hidup.

GSK menggunakan sel buah pinggang monyet untuk tujuan ini.

Menurut Dr Margaret Hamburg, Pesuruhjaya Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (FDA), cebisan DNA PCV1 ditemui dalam bank sel Glaxo, bermakna ia hadir daripada perkembangan awal vaksin yang pada hakikatnya vaksin sepatutnya hendaklah disteril (bersih dari kuman).

Kemungkinan besar GSK tidak menyedari sesuatu yang janggal ini dalam vaksin mereka lama sebelum 2006 apabila mereka menjalankan ujian klinikal ke atas Rotarix untuk kanak-kanak.

Kami mempersoalkan kenapa GSK tidak membuat sebarang usaha untuk mengasingkan dan memusnahkan virus ganas PCV1 dalam pelbagai bahan genetik yang diperlukan untuk menghasilkan vaksin apabila ia boleh dilihat dengan jelas oleh saintis jika keselamatan diutamakan.

Amat mengejutkan sekali apabila GSK membenarkan keadaan berbahaya untuk berterusan sehingga beberapa tahun sehingga ia muncul sebagai pencemar untuk vaksin bagi kanak-kanak semuda seusia enam minggu.

Pada hakikatnya, GSK hanya melaporkan penemuannya sendiri berhubung kehadiran PCV1 dalam Rotarix kepada FDA pada 15 Mac, berdasarkan kepada kerja yang pada asalnya dilakukan oleh pasukan penyelidik akademik.

Diikuti oleh ujian susulan yang dijalankan bersama oleh GSK dan FDA mengesahkan penemuan pasukan itu dan mengesahkan komponen viral terdapat sejak peringkat awal perkembangan vaksin termasuk sewaktu ujian klinikal.

 
 

Terdapat dakwaan bahawa tiada bukti bahawa terdapat risiko kepada pesakit yang menerima vaksin ini, bagaimanapun FDA pada 22 Mac memutuskan untuk berhati-hati dan mengeluarkan amaran kepada pakar kanak-kanak di seluruh negara di Amerika Syarikat untuk menghentikan memberikan Rotarix kepada pesakit mereka sementara menunggu siasatan yang dijangkakan berakhir dalam masa enam minggu.

Pihak FDA juga mengakui sehingga kini virus babi yang khusus ini bukanlah satu-satunya yang mereka fikirkan pembuat vaksin perlu untuk memeriksa produk mereka.

 
 

Pada hari ini (27 Mac), Kementerian Kesihatan Emiriyiah Arab Bersatu (UAE) telah mengambil isyarat daripada FDA dan telah mengarahkan pergantungan segera pengimportan, pengedaran dan penjualan Rotarix dan pengharaman sementara penggunaannya untuk kanak-kanak.

Jordan melalui Pentadbiran Makanan dan Ubatan juga telah menerima pakai pendirian FDA dengan menggantung semua preskripsi Rotarix memandangkan mereka bimbangkan risiko kesan sampingan yang tidak diketahui daripada PCV1.

Lembaga Sains Kesihatan Singapura (HSA) telah meminta doktor menangguhkan vaksinasi Rotarix atau menggunakan alternatif sementara HAS bekerjasama dengan GSK untuk menentukan jika sebarang kelompok vaksin Rotarix telah tercemar.

Dalam satu kenyataan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa negara yang menggunakan Rotarix supaya "berhati-hati mempertimbangkan manfaatnya untuk terus menggunakannya dalam sebarang keputusan.

 
 

Sementara itu, Pengarah Klinikal R & D dan Hal Ehwal Perubatan GSK Malaysia dan Singapura, Dr Teoh Yee Leong, berkata pembuat ubat itu memberikan jaminan kepada HAS bahawa mereka akan "terus berkongsi maklumat dengan HAS apabila ia diperolehi", kerjasama yang sama seperti itu dilihat tidak dihulurkan kepada pihak Kementerian Kesihatan kita.

Berdasarkan kepada sikap berdiam diri Lembaga Kawalan Ubatan (DCA) Kementerian Kesihatan berhubung perkara ini, ia dilihat GSK mempunyai alasan enggan untuk mendedahkan sebarang maklumat berhubung isu kritikal ini kepada Kementerian Kesihatan walaupun sudah 12 hari sejak perkara ini dilaporkan kepada USFDA.

Sementara amat bekerjasama dengan HSA Singapura, GSK Malaysia dilihat menyokong sepenuhnya di sebalik Kementerian Kesihatan yang secara terbuka menyarankan penggunaan Rotarix di Malaysia. Kami bimbang jika ini kesnya yang sebenar atau rakyat dibiarkan dalam keadaan tidak mengetahui apa-apa.

 
 

Dalam sebuah negara yang mempunyai rakyat beragama Islam sebagai majoriti seperti negara kita, amat difahami bahawa isu seperti ini boleh menjadi sesuatu yang sensitif, terutama sekali memandangkan vaksin itu tercemar daripada virus yang berasal daripada babi.

Sepertimana yang kita semua tahu, pengambilan babi adalah 'haram' atau dilarang kepada orang Islam. Salah satu rasional saintifik kenapa babi dikategorikan sedemikian oleh Islam memandangkan kepada kehadiran sejenis parasit seperti Taenia solium (pork tapeworm) dan Trichinella spiralis (trichina worm) dan mikroorganisma seperti procine circovirus jenis 1 yang tidak diragui lagi berbahaya kepada kesihatan manusia.

Sebab itulah Rotarix yang tercemar dengan PCV1 tidak dapat diterima oleh orang Islam tetapi Kementerian Kesihatan mempunyai tanggungjawab bukan hanya kepada orang Islam tetapi juga kepada semua rakyat yang beragama lain di negara ini untuk menjelaskan situasi serta mengambil langkah segera untuk menarik balik dan menganalisis kelompok Rotarix yang sedia ada itu tercemar dan mengumumkan amaran di seluruh negara serta menggantung vaksin itu sehingga ia terbukti selamat.

 
 

Kerajaan UAE dan Jordan di mana Islam merupakan majoriti dan agama rasmi telah menjadi contoh dalam tindak balas mereka yang proaktif dan segera terhadap ancaman pencemaran Rotarix.

Mereka telah menunjukkan keprihatinan dan tanggungjawab kepada warganegara mereka memandangkan kepada keadaan ancaman iaitu membahayakan kesihatan serta mempunyai kaitan dengan agama dan mereka telah mengumumkan keputusan mereka untuk khalayak ramai.

 
 

Sama ada GSK Malaysia telah memberikan amaran atau tidak kepada Kementerian Kesihatan, kami mempersoalkan kenapa Kementerian Kesihatan masih belum mengisytiharkan amaran ke seluruh negara dan menggantung vaksin Rotarix sekarang dan menjalankan ujian keselamatan yang ketat ke atas kelompok Rotarix yang sedia ada.

Apakah yang telah dilakukan oleh Kementerian Kesihatan untuk memberitahu dan menyakinkan rakyat terhadap keselamatan anak-anak mereka?

Apakah yang menghalang Kementerian Kesihatan daripada menjalankan tugas dan tanggungjawab kepada rakyat? Rakyat mempunyai hak untuk mengetahui jika kepercayaan agama dan kesihatan mereka mungkin dikompromikan.

 
 

CAP menggesa Kementerian Kesihatan supaya mengumumkan dengan segera kepada rakyat berhubung dengan situasi pencemaran Rotarix di negara ini dan langkah yang diambil untuk mengawal keadaan.

Penulis adalah presiden, Persatuan Pengguna Pulau Pinang dan boleh dihubungi pada no telefon: 04 8299511, faks: 04 8288109 dan emel idris_md@streamyx.com

 
 

 
 

 
 

KAUM DIPTEROCARPACEAE

Kenali spesis pokok di Malaysia...






Adalah kaum ini berisi kebanyakkan jenis pokok kayu besar yang menjadi di dalam hutan negeri ini. Batangnya yang lazim berdamar, lagi pun kulit dan kayunya berisi damar juga. Daunnya tunggal, lazimnya tebal, aturannya bertingkat-tingkat. Bunganya sedang besar serta harum. Buahnya bulat atau bujur bulat, kebanyakkannya berkepak panjang. Adapun erti perkataan Dipterocarpaceae itu ialah "buah berkepak dua" akan tetapi ada jenisnya yang berkepak lima, dan ada juga yang tidak berkepak langsung.

 
 

Di dalam kaum ini adalah termasuk banyak jenis-jenis pokok yang kayunya banyak serupa dan lebih kurang sama tahannya. Dari itu jenis-jenis daripada kaum ini adalah dikumpulkan mengikut keadaan dan sifat kayunya. Kumpulan itu dinyatakan di bawah ini.

 
 


Meranti Merah - Red Meranti.

Kumpulan meranti ini lazimnya mengandungi pokok besar-besar belaka yang berbanir besar; batangnya merekah atau bersisik. Lazimnya semua jenis dalam kumpulan ini adalah berdamar. Kulit luar tebal; kulit dalam pun tebal, berurat-urat dan warnanya merah atau kemerah-merahan; gubalnya kuning pucat, tetapi isi kayu merah. Terkandung dalam kumpulan ini ada tiga bahagian lagi iaitu Meranti Merah Tua (Dark Red Meranti) yang termasuk pokok meranti
bukit, meranti sarang punai bukit, meranti sengkawang merah, nemusu dan seraya. Bahagian Meranti Bakau yang berisi meranti bakau sahaja, jenis ini diasingkan oleh sebab mudah diserang bubuk; dan bahagian meranti merah muda (Light Red Meranti) yang berisi pokok meranti batu, meranti bunga, meranti daun besar, meranti kepong, meranti kepong hantu, meranti langgung, meranti melantai, meranti paya, meranti pasir, meranti pepijat, meranti rambai daun, meranti sarang punai, meranti tembaga, meranti tengkawang air dan gerutu-gerutu. Jenis yang akhir ini harus diasingkan kayunya dan dijual dengan nama Gerutu, jika banyak kayunya.

 
 

Meranti Kuning - Yellow Meranti

Kumpulan meranti ini mengandungi pokok kecil atau besar. Batangnya beretak-retak, bersisik atau merekah, berdamar warna coklat atau hitam. Kulit luar nipis sahaja, kulit dalam kekuning-kekuningan, gubal berwarna kuning pucat. Rantingnya lincin, daun pun licin kecuali daun damar hitam bulu; warna daun kemerah-merahan, daun yang tua warna kuning keemasan. Terkandung di dalam kumpulan ini ialah damar hitam, damar hitam bulu, damar hitam gajah, damar katup, damar sengkawang putih, damar siput, damar siput jantan, damar telepuk.

 
 

Meranti Putih - White Meranti

Kumpulan ini mengandungi pokok besar; warna batang kelabu atau coklat tua, berdamar warna kuning pucat. Kulit luar tebal; kulit dalam berlapis-lapis. Jenis-jenis yang terkandung dalam kumpulan ini ialah meranti belang, meranti bumbung meranti jerit, meranti lapis, meranti mengkai, meranti paang, meranti pipit, meranti temak. Meranti temak nipis.

 
 

Balau berisi pokok balau gajah, balau gunung, balau hitam, balau kumus, balau kumus hitam, balau laut, balau pasir, balau bukit, balau putih, sengkawang air, sengkawang darat.

 
 

Balau merah mengandungi pokok balau merah, damar laut merah, membatu, membatu jantan.

 
 

Giam mengandungi pokok giam, giam jantan, giam lintah bukit, giam palong, giam bayan.

 
 

Malut mengandungi pokok malut sahaja.

Cengal mengandungi pokok cengal sahaja.

Kapur mengandungi pokok kapur dan keladan.

Keruing berisi lebih kurang 29 jenis keruing.


 

Merawan mengandungi beberapa jenis seperti merawan batu, merawan bunga, merawan gunung, merawan jangkang, merawan jeruai, merawan kelabu, merawan meranti, merawan penak, merawan siput, merawan siput jantan, mata kucing beledu, mata kucing hitam.

 
 

Mersawa mengandungi beberapa jenis mersawa sahaja.

Resak mengandungi beberapa jenis resak sahaja.

Sabtu, 27 Mac 2010

Dr Mahathir bersuara….


Dr M: Kepercayaan Melayu terhadap Umno terhakis





Kepercayaan orang Melayu terhadap Umno sebagai pelindung nasib mereka kini terhakis dan Melayu kini perlu berusaha untuk melindungi diri mereka sendiri, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad.

"Maaf saya katakan, wujudnya begitu ramai NGO Melayu yang memberi tumpuan masalah Melayu kerana terhakisnya kepercayaan mereka kepada UMNO sebagai pelindung nasib mereka," katanya ketika merasmikan mesyuarat agung tahunan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).

Menurut Mahathir, prestasi Umno pada pilihan raya tahun 2008 adalah terlalu buruk dan Barisan Nasional (BN) hanya mampu menubuhkan kerajaan yang lemah, yang dilihat sebagai tidak berupaya mempertahankan kedudukan orang Melayu.

"Kita lihat seolah-olah kerajaan memberi layanan kepada mereka daripada apa yang ada pada kita. Saya tak kata kerajaan berat sebelah tetapi lemah kerana ada sipolan yang tak tau Umno dan BN hampir kalah.

Jangan biadap


"Masa saya jadi PM, ada juga tuntutan, tapi jangan la biadap ," kata Mahathir.

Beliau berkata tuntutan dan desakan pada zaman itu tidaklah sebiadap seperti hari ini.

"Saya bukan rasis, saya keturunan orang Melayu.nak aman,hidup rukun dan damai.negara dapat dibangunkan. hampir 50 tahun tak ada masalah yang besar dihadapi kecuali tahun 1969 dan 1987. Tak ada tuntutan yang bukan bukan dari mana-mana pihak..

"Zaman Tunku (Abdul Rahman), Tun Razak, (Tun) Hussein dan zaman saya, tak ada tuntutan yang bukan-bukan. Apa yang saya perkatakan adalah benar belaka, negara kita unik, penduduk pelbagai kaum, negara lain, penduduk tempatan tak akan beri hak kepada pendatang,orang lain melainkan guna syarat-syarat yang ketat seperti guna bahasa tempatan, budaya tempatan," kata Mahtahir.

Katanya, orang Melayu amat bermurah hati dan sanggup berkongsi negara ini hampir tanpa sebarang syarat yang ketat.

Umno lemah


Bagaimanpun akibat kerajaan BN yang ditunjangi oleh Umno adalah lemah, maka golongan berkenaan mula berani menuntut perkara-perkara yang tidak sepatutnya dan ia ditambah burukkan lagi dengan bantuan parti pembangkang yang memuatr-belitkan perkara itu.

"10 peratus anak Melayu yang berada di universiti, anak Melayu yang melanjutkan pengajian ke luar negeri, pun tak ramai. Kita boleh buat banci,,siapa yang lebih ramai?

"Ramai penuntut Melayu dapat biasiswa.kita beri sebab tak ada duit atau duit tak cukup. Yuran setahun RM60 ribu, mana ibu bapa Melayu yang mampu. Zalimkah kita bagi biasiswa untuk tambah Melayu berpelajaran?" soal Mahathir lagi.

Selain itu, menurut Mahathir, bukan Melayu juga tidak seharusnya mempertikaikan kedudukan Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan.

"Keris ialah simbol bangsa kita. Kita hargai. nak guna simbol kita pun tak kan nak kena minta maaf? Hanya kerana satu kaum nak hidup bahagia, kaum satu lagi hidup sengsara?" soalnya.

Justeru, kerana keadaan sedemikian orang Melayu, kata Mahathir memerlukan NGO seperti Perkasa bagi memperjuangkan hak mereka.

Rintihan rakyat


Kata beliau lagi, tanpa menamakan pihak yang bertanggungjawab: "Kita taklah tuntut banyak banyak..dia dah pergi, biarlah dia pergi."

Mahathir bagaimanapun mengingatkan kerajaan supaya perlu mendengar pandangan dan rintihan daripada semua rakyat tanpa mengira kaum. Ini kerana, katanya, sebagai sebuah negara yang demokratik, membentuk sebuah kerajaan bergantung kepada sokongan undi.

"Oleh itu, penting bagi kerajaan dengar rintihan rakyat, di samping cuba mengambil kira pandangan mereka (rakyat). Bukan daripada satu kaum tetapi daripada semua kaum.

"Orang Melayu perlu mengambil kira orang India serta Cina dan di Sabah atau Sarawak," katanya.

Beliau berkata walaupun jumlah mereka tidak ramai dan tidak dapat menentukan siapa yang akan memerintah, namun orang Melayu perlu beringat bahawa kemenangan bukan bergantung kepada ratusan ribu undi tetapi kelebihan satu undi sahaja,

"Satu undi itulah yang akan menentukan menang atau kalah seseorang atau sesebuah parti. Hendak menang atau kalah bukan kerana ribuan undi, dua tiga undi pun boleh menentukan menang atau kalah.

"Kalau mereka ada rintihan dan perasaan tidak puas hati, harus dengar. Kalau tutup telinga atau desakan mereka tidak didengar, dalam pilihan raya, akan kalah," katanya.

Media Cina, India diberi amaran


Pada ucapannya itu, Mahathir turut meminta media bahasa Cina dan India supaya melapor dengan benar.

"Tolong buat laporan yang benar. jangan putar belit kenyataan saya. Saya harus prihatin kepada nasib orang Melayu. Saya yakin ahli perkasa bukan berniat tidak adil terhadap bukan Melayu tapi tuntut hak mereka. Tuntut hak adalah tindakan yang adil," katanya.

Beliau juga mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya jangan melupakan rintihan dan tuntuan orang Melayu.

"Nak negara berada dalam keadaan aman, adil, saksama sesama kaum, nak keadilan dalam pengagihan kekayanaan dalam negara kita. Bukan kita nak rebut tapi jangan ambil yang sedikit yang kita ada untuk diberi kepada mereka yang dah ada," katanya lagi.

Mahathir mengakhiri ucapannya dengan meminta Perkasa supaya berperanan secara bijak, dan bukan untuk mendabik dada.

Selesai ucapannya, Mahathir dianugerahkan 'Bintang Perkasa Pribumi Negara' yang pertama oleh presiden NGO itu.

Beliau dianugerahi selendang merah bertulis "Bintang Pribumi Perkasa" serta kalimah Allah dan Muhmmad. Songkok hitamnya juga turut diganti dengan tengkolok berwarna emas.


Ia diikuti dengan laungan "Hidup Tun" sebanyak tiga kali.