Selasa, 16 Mac 2010

Kenali Anak Kita sebelum terlambat...

Oleh NAZARUDIN SHAHARI

utusankedah07@yahoo.com

ADAKAH anak-anak anda mempunyai tanda-tanda seperti ini?

Sering bersikap menafikan apabila diajukan pertanyaan, barangan di rumah mulai hilang, menjumpai peralatan atau barangan pelik di biliknya, pencapaian di sekolah semakin merosot, tidur berlebihan, suka menyendiri dan sering meminta wang yang berlebihan.

Jika tanda-tanda seperti ini dikesan, anda patut mula berasa bimbang kerana kemungkinan anak-anak anda terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Mengikut statistik Agensi Anti Dadah Kebangsaan, sebanyak lima orang yang berusia antara 13 hingga 15 tahun dikesan terlibat dengan dadah antara Januari hingga Julai 2008.

Sepanjang tempoh itu juga sebanyak 154 orang yang berusia antara 16 hingga 18 tahun dan 1,211 orang berusia 19 hingga 24 tahun terlibat dengan masalah itu.

Sebanyak 7,992 orang penagih dadah telah dikesan dengan 3,584 orang atau 44.84 peratus adalah penagih baru sepanjang tempoh tujuh bulan mulai Januari hingga Julai 2008.

Walaupun jumlah remaja dalam usia persekolahan yang terlibat dengan dadah adalah kecil, ia tidak boleh dipandang ringan.

Justeru, kempen Kenali Anak Kita yang rancak dijalankan ketika ini mampu menjadi landasan berkesan kepada institusi keluarga menangani ancaman dadah yang semakin membimbangkan.

Baru-baru ini kempen itu telah diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Bonglai, Tunjang dekat Jitra, Kedah.

Kempen itu telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir yang juga Ahli Parlimen Jerlun.

Kempen tersebut adalah usahasama antara Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) dengan Petronas.

Selain pameran, aktiviti lain yang dijalankan ialah seminar, bengkel dan program bual bicara menggunakan kaedah pendidikan sambil berhibur.

Pada program di Tunjang, penyanyi terkenal, Jamal Abdillah telah diundang untuk menghiburkan orang ramai.

Kempen itu juga mengguna pakai kaedah media baru secara maksimum seperti laman web, Facebook, Friendster, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan khidmat pesanan multimedia (MMS) untuk menyampaikan maklumat mengenai salah guna dadah.

Yang Dipertua Pengasih, Mohd. Yunus Pathi berkata, kempen itu memberi tumpuan khusus kepada ibu bapa sebagai agen pencegahan tingkah laku songsang dan penyalahgunaan dadah di peringkat institusi keluarga.

Jelasnya, melalui usaha itu ibu bapa dilengkapkan dengan ilmu pengetahuan bagi membolehkan mereka mengenal pasti perubahan tingkah laku anak yang berpunca daripada penyalahgunaan dadah.

''Pengesanan awal ini membolehkan langkah-langkah diambil bagi mengatasi masalah itu pada peringkat awal berbanding jika ia hanya diketahui apabila penagihan sudah menjadi teruk.

"Ibu bapa menjadi kumpulan sasar program itu kerana mereka adalah faktor yang paling berpengaruh dalam pembentukan nilai, sikap dan tingkah laku anak-anak," katanya.

Mohd. Yunus menarik perhatian, remaja perlu ditanam dengan sikap bahawa dalam apa juga situasi ada pilihan sama ada yang akan menghasilkan kebaikan atau sebaliknya.

Beliau berkata, mereka perlu berani berkata 'tidak' kepada situasi yang akan memberikan kesan negatif sekali gus menyelamatkan mereka.

Katanya, adalah menjadi harapan Pengasih kempen Kenali Anak Kita mampu membantu para ibu bapa dalam berdepan dengan ancaman dadah di kalangan anak muda.

Maklumat lanjut kempen itu boleh diperolehi melalui laman web http://kenali.net/.

 
 

Pasted from <http://kedahlanie.blogspot.com/>

 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan