Khamis, 7 Jun 2012

Skandal Bank Negara hilang RM 30 billion

Pengbongkaran Isu BANK NEGARA LAYAN FOREX hingga lesap RM30billion..!!!


Pada hari Rabu, 30 Mei 2012, awal pagi, saya menerima satu pesanan ringkas yang berbunyi: “Salam Dr. Rosli. Kaifahal? Saya Syed Mikael dari Penang Institute. Berhajat besar utk menjemput tuan hadir memberi pdgn dlm satu forum khas bertajuk “Bank Negara Forex Scandal: When Government Becomes Speculator.”  Forum ini bakal diadakan pada 2.30 ptg, Sabtu ini 2 Jun 2012 di Dewan Sri Pinang, Padang Kota Lama, Pulau Pinang. Selain tuan, CM Lim Guan Eng dan DS Anwar Ibrahim turut jd panelis. Ini adalah permintaan pribadi DSAI kpd tuan. Harap dapat hadir.”

Apabila membaca mesej itu saya menjadi kelam kabut (tetapi saya tahu ayat terakhir itu adalah tambahan dengan maksud tidak sopan kalau saya menolak). Pertama, saya memang sudah ada program tetap di hujung minggu. Setiap minggu, kecuali ada hal yang lebih utama, mulai petang hari Khamis sehinggalah ke petang hari Ahad, saya mesti berada di Rembau – turun padang. Kedua, pada hari Jumaat, 1 Jun, saya mesti hadir bersama-sama rombongan dari Rembau ke program “Himpunan Hijau ke Putra Jaya” di Alor Star, Kedah. Ketiga, pada hari Ahad, 3 Jun, saya mesti kembali ke Rembau kerana majlis perkahwinan anak buah (anak adik) saya. Saya tahu ibu saya akan sedih jika saya tidak bersama di majlis itu.
 
Keempat, masa yang ada memang suntuk dan amat sukar bagi saya untuk membuat persediaan, tambahan lagi, ini bukan subjek yang mudah.

Kelima, maudhu’ yang akan dibicarakan sudah lama saya tinggalkan. Kali terakhir saya berbicara mengenainya ialah pada April 2006 bila pemberita akhbar Malaysiakini menemubual saya mengenainya. Betul, saya ada menulis mengenainya tetapi saya kena mentelaah kembali tulisan-tulisan itu kerana banyak perinciannya yang saya telah lupa.

Keputusan saya: saya kena tolak undangan. Namun, hati saya terus berbolakbalik di antara hendak kata ia atau tidak.

Saya akhirnya menalipon Syed Mikael menyatakan, dengan hati yang berat dan rasa terbeban, “setuju.”  Perkiraan saya ialah saya memang akan ke utara dan program mingguan di Rembau pun telah dibatalkan kerana ramai ahli yang akan ke Kedah menyertai perhimpuan hijau dan setelah berjanji kepada ibu, saya akan berada di Rembau pada pagi Ahad itu, Insya Allah.

Saya dan isteri ke Pulau Pinang pada hari Khamis 31 Mei bertolak dari Subang Jaya pada pukul 5 pagi dan sampai di Pulau Pinang pada pukul 8.30 pagi.  Kami menginap di Hotel Equitorial. Berbekalkan sedikit maklumat yang saya telah kumpulkan sebelum bertolak, saya memerapkan diri di bilik hotel, mentelalah bahan yang saya bawa dan melayari internet untuk bahan tambahan dalam menyediakan satu power point presentation untuk dibentangkan di dalam forum.

Isteri saya merungut kerana saya tidak membawa beliau bersiar-siar di Pulau Pinang. Hendak menziarahi saudara mara pun terpaksa dilupakan. Dia reda sedikit bila pada sebelah senjanya, kami keluar makan malam di restoran Pak Su di Sungai Dua dan makan durian dari dusun Pak Su sendiri yang turut dijaja di situ. Kembali ke hotel saya terus menyambung kerja hingga lewat malam.

Sesudah subuh, hari Jumaat, 1 Jun, dalam hujan yang lebat, kami memandu kereta ke Alor Setar. Program di Alor Setar memang menyemarakkan semangat perjuang tetapi meletihkan. Bila kembali dari Alor Setar pada dinihari, Sabtu 2 Jun, saya menginap di Hotel Penaga, di Hutton Lane. Se awal selepas sembahyang subuh, saya menyambung kerja menyiapkan ppp. Ianya siap pada pukul 12.30 petang dan terus saya emelkan kepada Syed Mikael kerana saya telah berjanji akan emel kepada beliau pada sebelah pagi. Saya terlewat.

Saya tiba di Dewan Sri Pinang pada pukul 2.00 petang. Forum bermula pada kira-kira pukul 3.30 petang kerana DSAI yang berkereta dari Kuala Lumpur terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Utara-Selatan. Perjalanan mengambil masa lima setengah jam berbanding  3-4 jam jika tiada kesesakan.

Kepada kira-kira 400 hadirin dan hadirat di majlis forum itu saya memberitahu ada sekurang-kurang lapan isu utama yang mengundang jawapan berkaitan dengan tajuk forum itu (forum diadakan dalam Bahasa Inggeris).  Saya kongsi isu-isu dan jawapan yang saya kemukakan di forum itu dengan pembaca Harakah.
 
Pertama, wajarkah Bank Negara Malaysia (BNM) berspekulasi di pasaran pertukaran wang asing?


Tidak. BNM tidak boleh sama sekali terlibat di dalam kegiatan spekulasi di dalam pasaran wang kerana risiko kerugian daripada kegiatan ini amat tinggi. Fungsi sebenar BNM adalah sebaliknya, iaitu, memerangi kegiatan spekulasi. Di dalam pasaran pertukaran wang asing khususnya, fungsi teras BNM ialah menjaga dan melindungi nilai Ringgit Malaysia (MYR) berbanding nilai matawang asing khususnya matawang rakan dagang utama negara seperti Dolar Amerika (USD), Ringgit Singapura, Paun British (GBP), Deutch Mark (DM), Yen, Swiss Franc, French Franc dan sebagainya. BNM mesti melindungi MYR dari serangan spekulatif dan menjaga nilai pertukaran MRY supaya sentiasa stabil dan pasaran wang setiasa cukup kecairan.

Kedua, bilakah BNM mula  terlibat di dalam kegiatan spekulasi di dalam pasaran pertukaran wang asing?


BNM mula melibatkan diri di dalam kegiatan spekulasi di pasaran pertukaran wang apabila Tan Sri Jaffar Hussien (arwah) dilantik Gabenor pada tahun 1985. Gabenor-Gabenor sebelum beliau – Tun Ismail Ali (arwah) dan Tan Sri Aziz Taha (meletak jawatan) – semuanya menentang kegiatan spekulasi matawang. Malah, mereka sentiasa mempertahankan BNM sebagai badan yang harus bebas dari campur tangan pemerintahan. Kerana tidak rela dijadikan “budak suruhan” kepada Menteri Kewangan yang mengarahkan Tan Sri Aziz berbuat sesuatu yang bertentangan dengan prinsip dan etika bank pusat, beliau memilih meletakkan jawatan. Mungkin, antaranya, beliau enggan berspekulasi di pasaran wang asing.

Isyarat bahawa BNM akan bersepekulasi di pasaran pertukaran wang asing disebut di dalam satu syarahan yang disampaikan oleh TSJH di Delhi dalam tahun 1989. Beliau menyebut bahawa beliau telah menambahkan dimensi ketiga dan keempat kepada pengurusan rizab BNM, iaitu, mengoptimamkan keuntungan dan membangunkan kemahiran berurusniaga di dalam pasaran wang asing.  Sebelum ini, teras utama pengurusan rizab adalah menjaga dan melindunigi nilai MYR dan mengekalkan kecairan di dalam pasaran. Sejak dari itu bermulalah penglibatan BNM dalam kegiatan spekulasi di pasaran wang asing dalam skala besar dengan tujuan menjana keuntangan maksimam sehingga mengkesampingkan teras utama pengurusan rizab.

BNM bukan lagi berspekulasi di dalam pasaran untuk menjaga nilai ringgit tetapi berjudi dengan harapan mendapat untung besar dan segera.  Bila ada pihak yang bertanya kenapa BNM berspekulasi secara besar-besaran sedangkan tidak ada mana-mana bank pusat yang berbuat demikian, maka TSJH sering memberi alasan “untuk mempertahankan nilai ringgit dan mengawal inflasi.” Ini terbukti falsu kemudiannya apabila kerugian besar akibat berjudi terdedah dan nilai pertukaran asing MYR merudum dalam tahun 1997-98 diserang spekulator.
 
Ketiga, Berapa besar dana digunakan BNM untuk berjudi di dalam pasaran pertukaran asing?


Kerana ketiadaan penyiasatan, jumlah dana terlibat sukar diperinci. Tetapi, pakar-pakar pasaran memang mengetahui bahawa pada satu ketika BNM (sebelum skandal terdedah) adalah pemain terbesar di dalam pasaran pertukaran wang asing di dunia. Lawannya hanyalah George Soros,  “penyangak matawang.”  Akhbar Reuter pernah melaporkan bahawa BNM adalah “sebuah kuasa yang dominan di dalam pasaran pertukaran wang sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Bahawa, BNM telah menjana keuntungan yang agak lumayan dari kegiatan itu sejak sebelum tahun 1992-93, telah mendorong BNM untuk bermain di dalam pasaran pertukran asing dalam skala yang semakin besar.”

Pedagang-pedagang matawang asing biasanya berjual beli dalam lot USD1 juta, USD5 juta dan paling tinggi USD 10 juta. Tetapi BNM berniaga dalam lot USD 50 juta dan kadang-kadang dalam lot USD1 bilion (dalam istilah pasaran, ini dipanggil satu ela) dalam sehari. Amat jarang sekali peniaga matawang asing berjual beli dalam lot yang besar.  Penanding yang paling hampir kepada BNM dalam kegiatan jual beli di dalam pasaran pertukaran asing ini ialah pengurus-pengurus dana Jepun. Itu pun mereka berani bermain paling tinggi dalam lot USD50 juta dan setakat sekali atau dua kali setahun. BNM bermain dalam lot-lot besar ini setiap hari.   Ertinya, BNM memang berjudi di dalam pasaran, satu aktiviti yang tidak ada kena-mengena langsung dengan fungsi “mempertahankan nilai ringgit dan mengawal inflasi.”

Strategi BNM ialah membeli dahulu sesuatu matang wang dalam jumlah beberapa bilion USD dan setelah urusan pertama ini selesai (selang beberapa minit sahaja), ia akan membeli beberapa billion USD lagi. Ini menjana kejutan di dalam pasaran dan pedgang-pedagang lain menjadi panik dan akan tergesa-gesa membeli matawang berkenanan. Akibatnya, harga akan naik dan ketika itulah BNM menjual pegangannya dan menjana keuntungan lumayan. Akhirnya, pedagang-pedagang lain akan tahu helah ini dan bila mereka tahu, mereka akan bertindak balas. Maka bertemulah buku dengan ruas.

Dalam tahun 1992, BNM berjudi di dalam Paun British (GBP). Ia membeli dengan jangkaan GPB akan naik nilai. Pada masa yang sama, George Soros membuat “short selling” ke atas GBP (jual dulu dan beli kemudian) kerana dia menjangka nilai GBP akan jatuh di masa hadapan. Jangkaan soros tepat. Nilai GBP jatuh. BNM rugi USD5.5 bilion dan Soros untung USD1.7 bilion. TSJH berbohong dengan mengumumkan bahawa BNM hanya rugi di atas kertas sebanyak RM9.3 bilion. Hanya kemudian (dalam tahun 1993) beliau mengakui BNM rugi RM10.1 bilion.

Pakar-pakar membuat anggaran bahawa kerugian sebesar itu hanya boleh terjadi kalau BNM berspekulasi dalam pasaran sebanyak US27-33 bilion. Jumlah ini 5 kali ganda jumlah rizab BNM pada masa itu dan lebih besar dari nilai asset BNM, iaitu, USD20.7 bilion ketika itu, bermakna BNM sudah bankrap. Ini bukan hendak menjaga nilai ringgit dan mengawal inflasi, ini berjudi sakan.

Perjudian BNM di dalam pasaran pertukaran wang asing ini telah dikesan oleh bank pusat Amerika (Federal Reserve Bank) dan Gabenornya pada masa itu, Alan Greenspan telah menggesa BNM menghentikan segera perbuatan itu. Tetapi, BNM buat pekak badak. Ia terus bermain judi dan akhirnya rugi besar lagi dalam tahun 1993.

Akhbar “Malaysia Business” melaporkan bahawa pada kemuncaknya, BNM pernah berspekulasi di dalam pasaran pertukaran wang asing sehingga RM270 bilion (USD90-100 bilion). Pedagang-pedagang matawang asing BNM amat agresif dan digelar “pembuli pasaran” (market bully). Mereka seolah-oleh diberi oleh bos mereka cek kosong, berbelanja ikut suka. Yang sebenarnya, yang berjudi itu seorang sahaja, iaitu Nor Mohamed Yakcop. Khabarnya (berita yang hangat di kalangan kakitangan BNM), apa yang beliau buat ialah beliau berjual beli menggunakan komputer orang lain - pegawai-pegawai di bawah beliau. Beliau akan bergerak dari satu komputer ke satu komputer sehingga pasaran melihat BNM mempunyai ramai pedagang matawang asing yang agresif walhal yang agresif hanya seoarng sahaja. Beliau selalu datang mesyuarat lambat dan ketika mesyuarat sedang berjalan, keluar pergi ke kamar dagangan (dealing room). Beliau membuat laporan palsu kepada Gabenor tetapi kerana dia licik, maka Gebenor percaya semua laporan sehinggalah “nasi telah menjadi bubur” barulah Gabenor sedar orang yang dipercayainya selama ini telah bermain kayu tiga dengan beliau, buat cerita dongeng.
 
Keempat, berapa besarkah kerugian yang ditanggung BNM akibat dari perjudian itu?


Memang sukar diketahui dengan tepat tanpa penyiasatan. YB Lim Kit Siang pernah menyebut di parlimen bahawa jumlah kesemua kerugian ialah RM30 bilion, satu jumlah yang amat menggerunkan. Inilah jumlah kerugian yang paling kerap disebut di kalangan pemain pasaran.

BNM mengakui kerugian sebanyak RM10.1 bilion dalam tahun 1992 dan RM5.7 bilion dalam tahun 1993.  Jumlahnya RM15.8 bilion, kira-kira setengah dari anggaran pakar. Jumlah yang diakui oleh BNM itu memang secara muslihat direndahkan. Sebahagian kerugian itu disorokkan melalui menilai semula pegangan emas BNM pada harga pasaran yang telah menjadi lebih tinggi berbanding harga mula-mula ia dibeli dan menilai pelaburan BNM dalam saham tersenarai dan beberapa lagi harta yang lain. BNM juga menggunakan “creative accounting” bagi menyorok kerugian. Kerugian telah ditukarkan menjadi “harta” dengan mencipta istilah baru perakaunan, iaitu, “deferred expenditure” atau “perbelanjaan tertunda” – wang telah dibelanjakan dahulu tetapi akan dibayar secara ansuran kemudian. Ini adalah penipuan. TSJH, seorang akauntan bertauliah, telah menderhakai profesyen beliau sendiri.
 
Kelima, siapakah yang bertangungjawab di atas kerugian?


BNM berjudi sakan di pasaran pertukaran matawang asing semasa Tun Daim Zainuddin (TDZ) menjadi Menteri Kewangan. Semua orang maklum, TDZ ini seorang spekulator besar dalam pasaran saham.  Beliau menjana kekayaan melalui spekulasi di pasaran saham. Dengan nada angkuh beliau pernah dilaporkan berkata: “Apa yang saya jana di pasaran saham itu hanyalah duit poket saya.”

Diyakini bahawa arahan “pergi buat duit di pasaran pertukaran asing” kepada BNM datangnya dari TDZ dan tentunya direstui oleh Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad (TMM).  Umum mengetahui kedua-dua mereka rapat, bagaikan isu dengan kuku.  Arahan itu dilaksanakan kerana BNM memiliki seorang Gabenor yang berwatak “Yes Man” bukan macam Tun Ismail Ali  dan Tan Sri Aziz Taha.  Harus diingat TDZ – kerana gagal menundukkan Tan Sri Aziz Taha dengan arahan tidak munasabah - telah berjaya menekan Tan Sri Aziz sehingga beliau meletak jawatan. Gabenor TSJH pula mempunyai “Yes Man” lapisan kedua, iaitu, Nor Mohamed Yakcop.

Pada peringkat BNM, kerugian gergasi ini adalah tanggungjawab TSJH dan Nor Mohamed Yakcop sepenuhnya. Mereka, walaubagaimana pun mengambil arahan  daripada dan membuat laporan terus kepada TDZ dan TMM mengenai permainan mereka di pasaran matawang ini. Pegawai tinggi BNM yang lain tidak tahu apa-apa. Timbalan Gabenor pada masa itu, Tan Sri Dr. Lin See Yan diketepikan.  Sesungguhnya, mereka berdua telah terpesong  jauh dari batasan (went overboard) dalam memperjudikan harta BNM di pasaran pertukaran asing. Mereka bukan berspekulasi tetapi berjudi secara cuai dan tidak bertanggung jawab dengan tidak mengendahkan langsung tentang keselamatan harta BNM dan harta negara.  Mungkin mereka bernafsu besar untuk mengalahkan Goerge Soros yang dikenali sebagai “raja perompak” (robber baron) itu bertujuan memenangi hati bos mereka bahawa mereka mempunyai kepakaran tanpa tolok banding di dalam urusniaga matawang asing.

Jadi, empat orang adalah orang yang harus dipertanggungjawabkan sepenuhnya di atas kerugian gergasi yang ditanggung BNM akibat perjudian di pasaran pertukaran asing – Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad,  Menteri Kewangan, Tun Dain Zainuddin, Gabenor, Tan Sri Jaffar  Hussein dan Nor Mohamed Yakcop.

Bila Dato Sri Anwar Ibrahim mengambil alih sebagai Menteri Kewangan dalam tahiun 1991, BNM memang sudah terperangkap di dalam perjudian di pasaran. Beliau dinafikan maklumat mengenai keterdedahan BNM dalam pasaran pertukaran asing – berapa besar pelaburan, untung  atau rugi, semuanya disembunyikan dari beliau. Beliau mendapat maklumat serpihan dari pihak ketiga.

Beliau, seperti yang diakui. pernah meminta maklumat terperinci dari Gabenor TSJH tetapi beliau disuruh pergi memintanya daripada Perdana Menteri. Bila DSAI dilantik Menteri Kewangan, kerugian telah menggunung - “nasi telah menjadi bubur.” Apa yang boleh beliau buat hanyalah memberhentikan pendarahan dan itu beliau telah berjaya buat.

Beliau “membuang” Gabenor dan Nor Mohamed Yakcop dari BNM pada pertengahan tahun 1994 selepas pembentangan laporan Tahunan BNM 1993 yang mendedahkan kerugian dari spekulasi wang asing itu. Beliau juga melarang sama sekali BNM dari bersepekulasi di pasaran matawang asing. Larangan ini berkuatkusa hingga kini.

Penganalisis merasakan beliau akhirnya membayar kos yang tinggi atas tindakan beliau itu – difitnah, dibuang kerja dan dipenjara 6 tahun.

Orang yang memberi  arahan supaya BNM berspekulasi di pasaran wang asing adalah TMM dan TDZ dan “kerja kotor” diserahkan kepada TSJH dan NMY untuk melaksanakannya.  Jadi, TSJH dan NMY mempunyai pelindung.  Sebab itu mereka bebas, tidak didakwa langsung.
 
Keenam, Kenapakah orang yang bertanggungjawab dibiarkan lepas-bebas?


Nor Mohamed Yakcop dipaksa meletak jawatan pada Julai 1994, satu hukuman yang amat ringan berbanding jenayah yang telah beliau lakukan terhadap negara. Malah, beliau kemudiannya diberi habuan lebih besar – kembali ke BNM dan menjadi menteri kabinet.

TSJH juga dipersilakan meletakkan jawatan tetapi dengan segera beliau dilantik menjadi Timbalan Pengerusi  PNB sebagai habuan. Sejak dari itu, beliau hidup murung – jarang mendapat liputan media - dan dua tahun kemudian beliau menginggal dunia akibat penyakit barah.

Perdana Menteri dan TDZ pula tida siapa yang berani sentuh. Buat penyiasatan mereka tidak mahu. Mereka tidak lut undang-undang.
 
Ketujuh, kenapakah skandal kerugian pertukaran asing BNM tidak disiasat?


Ini adalah kerana, pertama, pemimpin tertinggi negara nampaknya terlibat dan bersekongkol dalam perjudian ini. Kedua, penyiasataan mungkin mendedahkan banyak kepincangan dan perkara buruk yang boleh membawa kacau bilau politik kepada golongan berkuasa. Ketiga, perincian-perincian skandal ini mungkin terlalu mengerikan (too gruesome) kepada umum dan boleh menyebabkan malu besar kepada golongan berkuasa, sekiranya didedahkan.  Keempat, wujud unsur-unsur jenayah di dalam skandal berkenaan yang boleh menyebabkan orang bertanggungjawab masuk penjara bukan masuk kabinet seperti yang berlaku sekarang.

YB Lim Kit Siang telah mencadangan di Parlimen supaya Suruhanjaya PenyiasatanDiraja ditubuhkan untuk menyiasat skandal kerugian pertukaran asing ini tetapi cadangan tidak langsung diendahkan.
 
Kelapan, patutkah PR (jika memerintah) menyiasat kembali skandal ini?


Di Mongolia, dua orang bekas Gabenor dan tiga orang kakitangan bank pusat negara itu telah didakwa dimahkamah atas tuduhan kecuaian dan melebihi kuasa sehingga menyebabkan kerugian USD90 juta di pasaran pertukaran asing.  TSJH dan NMY telah melakukan kesalahan yang lebih besar dan menyebabkan kerugian gergasi, maka sudah sewajarnya mereka di bawa ke muka pengadilan. Mereka mestilah disiasat. Jenayah yang terlibat termasuklah kecuaian, menyalahgunakan kuasa, memalsukan akaun, memesongkan maklumat, pecah amanah, konspirasi dan rasuah.

Aktiviti spekulasi yang dibuat sebenarnya berlawan dengan prinsip-prinsip utama bank pusat. Bank pusat sepatutnya membanteras spekulasi. Manakan boleh BNM melibatkan diri di dalam kegiatan spekulasi di pasaran matawang asing secara besar-besaran?

Kerugian wang rakyat terlalu besar untuk dilupakan begitu sahaja. Maka wajiblah kerajaan PR menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat skandal ini walaupun ia telah terlewat 20 tahun.

Penulis mengucapkan terima kasih kepada Penang Institute kerana memberi ruang kepada penulis untuk berkongsi maklumat dengan orang ramai.  Sumber

p/s: Jika kita mahu skandal ini disiasat PRU13 nanti pastikan umPROno/Be eNd dikuburkan..A.B.U.
 

Selasa, 5 Jun 2012

Himpunan Hijau Ke Putrajaya

Sekitar Himpunan Hijau Ke Putrajaya


















p/s: Tahniah PAS Kedah kerana berjaya menganjurkan Himpunan Hijau Ke Putrajaya.