Khamis, 3 November 2011

Untuk Usahawan2 di Negeri Kedah

Dapatkan pinjaman dari Tabung Usahawan PKNK

http://wartakedah.net/images/stories/OKTOBER2011/kuih%20tra.jpgKODIANG – Mana-mana usahawan yang ingin memperluaskan bidang perniagaan mereka, bolehlah membuat pinjaman daripada Tabung Usahawan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, pihak PKNK turut menyediakan pinjaman maksimum sebanyak RM50,000 dan usahawan terbabit perlu menyediakan kertas kerja terlebih dahulu sebelum membuat pinjaman.

“Industri kecil yang melibatkan pengeluaran produk industri kecil dan sederhana (IKS) iaitu kuih tradisional merupakan salah satu industri yang mampu menjana pendapatan bagi usahawan kecil terutama di kampung-kampung,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan bagi meninjau perkembangan perusahaan menghasilkan kuih tradisional di Kampung Manggol Bongor, Megat Dewa, di sini.

Menurutnya, Kerajaan Negeri ingin melihat ramai usahawan Bumiputera berjaya dilahirkan dalam bidang perniagaan walaupun secara kecil-kecilan.

http://wartakedah.net/images/stories/OKTOBER2011/kuih.jpg“Minat dan kesungguhan adalah matlamat utama untuk berjaya dalam bidang perniagaan kerana ia mampu menjana pendapatan yang lumayan serta berupaya meningkatkan taraf ekonomi penduduk,” katanya.

Menteri Besar memberitahu, bagi mereka yang ingin menceburkan diri dalam bidang keusahawanan, bolehlah menghubungi pihak PKNK untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Ini merupakan peluang terbaik untuk usahawan-usahawan membina perniagaan sendiri dan ia secara tidak langsung mampu memberikan kesan terbaik kepada ekonomi negara,” ujarnya.

Tambahnya, setiap usahawan diharap dapat berhubung dengan pihak PKNK dan Jabatan Pertanian dalam memasarkan produk mereka ke pasaran terutama dari segi pembungkusan dan pelebelan.

“Kita ingin menjadikan produk seperti menghasilkan kuih tradisional sebagai satu jenama yang terbaik serta mampu menembusi pasaran negara dan juga antarabangsa,” katanya.

Seramai enam orang penduduk Kampung Manggol Bongor menjalankan perusahaan menghasilkan kuih tradisional seperti bahulu, kuih bakar, peneram, karas, kuih lapis dan kuih kacang.

Menteri Besar juga turut mengadakan lawatan ke Kampung Telok Berangan, Mukim Gelong, di sini bagi meninjau perusahaan menghasilkan biskut pelbagai jenis seperti tat nenas gulung, biskut Mawi, kuaci pistachio, shortbread, almond London dan macadamia flake yang diusahakan oleh Hajah Suzalina Haji Awaludin, 45 tahun.

Kesungguhan yang ditunjukkan oleh Hajah Suzalina mampu memberi perangsang kepada usahawan-usahawan di negeri ini untuk memperkembangkan perniagaan mereka walaupun pada awalnya hanya secara kecil-kecilan.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pembangunan Usahawan, YB. Abdul Ghani Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, YB. Dato’ Ir. Amiruddin Hamzah serta Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Kedah, Encik Ismail Salleh.

Peringatan dari Mat Sabu

Mat Sabu, integriti dan perisytiharan harta

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Memang agak pedih menerima kritikan pedas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu bahawa isu integriti dan akauntabiliti seakan-akan tidak diberi perhatian utama oleh sesetengah pemimpin Pakatan Rakyat yang diberi amanah untuk menerajui kuasa di negeri-negeri tertentu.

Malah beliau membandingkan, negara-negara Barat jauh lebih ke hadapan dalam hal ini, sambil merujuk beberapa indeks penting seperti berkaitan demokrasi, antirasuah, keselamatan dan kebebasan akhbar. Kecenderungan pemimpin parti Islam yang menang di Tunisia, An-Nahdah, Raschid Ghanoushi untuk meneladani model ekonomi Sweden -- bukannya negara Islam -- turut dibangkitkan Mat Sabu.

Selepas menyemak indeks berkenaan, saya dapati memang ada pertalian rapat di antara ranking demokrasi dan korupsi, kecuali untuk Singapura. Lima negara teratas demokrasi, seperti Denmark, Sweden, Finland, New Zealand dan Switzerland juga menduduki posisi lima negara terbaik dari segi ranking antirasuah. (Malang sekali apabila negara-negara Islam tercorot jauh ke belakang).

Program negara kebajikan mereka juga dikenali seluruh dunia. Memang peratus peruntukan kebajikan buat rakyatnya daripada KDNK begitu tinggi, dan cukai yang dikenakan ke atas rakyatnya juga besar, tetapi saya kira dengan pengurusan kewangannya yang telus dan berhemah, pembayar cukai akan berlapang dada. (Sebenarnya kadar cukai di Malaysia, sama ada cukai korporat mahupun individu, tidaklah jauh berbeda dengan cukai di negara berkenaan).

Sedangkan negara kita saban tahun menyaksikan pembaziran dan salahguna berleluasa, antaranya ditunjukkan dalam Laporan Ketua Audit Negara dan pendedahan berterusan mengenai ketirisan puluhan bilion ringgit, maka pembayar cukai sentiasa memprotes dalam diam (dan mutakhir ini berani meledakkannya di petak undi).

Lebih keras apabila Mat Sabu menujukan teguran langsung kepada sahabat-sahabatnya, dalam saf kepemimpinan Parti Islam, PAS sendiri. Beliau mahu teladan lebih unggul, terutama dalam urustadbir sumber negeri dan amalan integriti dizahirkan secara lebih meluas. Jangan sewenangnya ghairah menggunakan 'hak' untuk menikmati keistimewaan atas jawatan dalam kerajaan (yang digubal Umno-BN semasa mereka berkuasa); seharusnya budaya hidup sederhana dipraktikkan.

Sesungguhnya integriti tidak akan dicapai melalui undang-undang atau institusi formal semata-mata. Seseorang individu itu kekal mengamalkan prinsip dan nilai hidup unggul meskipun dihapuskan segala kekangan perundangan serta adat dan kebiasaan tertentu dalam masyarakat. Justeru, konsep ehsan dalam Islam merupakan jawapan terbaik. Cukup malang jika aktivis gerakan Islam boleh mengetepikan integriti selepas diuliti kekuasaan.

Kisah hidup Umar Abdul Aziz, seperti diungkapkan Dr Siddiq Fadzil, perlu ditelani pemimpin gerakan Islam: "Ditakdirkan Umar tampil pada zaman menggejalanya kehidupan materialistik. Beliau cukup menyedari gaya hidup bermewah-mewah adalah punca utama pelbagai kebejatan moral, sosial, politik dan ekonomi ... membuka ruang rasuah, penyalahgunaan harta awam.

"Untuk menutup ruang kebejatan itulah Umar berusaha mempromosikan gaya hidup sederhana dengan menampilkan diri dan keluarganya sebagai teladan yang hidup ... Memang tidak mudah melaksanakan langkah korektif apabila ia melibatkan kepentingan keluarga dan kerabatnya sendiri. ...

"Keadilan sosial tidak hanya dikhayalkan .... direalisasikannya menerusi agenda pemerataan keadilan dan kesejahteraan, termasuk perapatan jurang kaya miskin."


Meneliti realiti di negara kita, saya semakin sedih terutama selepas membaca prakata buku Reformasi Pembiayaan Politik di Malaysia, terbitan Transparency International Malaysia: "Masyarakat Malaysia sudah terlalu lama bertolak ansur dengan rasuah. Kita menerima adalah tidak menjadi kesalahan untuk terlibat dalam rasuah asalkan kita sendiri memperoleh sesuatu atau merasa selesa.

"Justeru, kita sering menutup mata terhadap perlakuan rasuah dalam semua bentuk, dan tidak mengendahkan soal kurangnya akauntabiliti dan urus tadbir dalam urusan menerajui sumber negara, asalkan pemimpin politik berupaya memberi manfaat ekonomi kepada masyarakat, meskipun tidak sebanyak mana atau tidak setimpal sekalipun berbanding dengan ketirisan yang berlaku."

Mungkin ada baiknya difirkan secara mendalam cadangan seorang rakan yang mahukan setiap calon PAS dalam PRU13 membuat pengisytiharan harta, iaitu salah satu elemen penting untuk mengekalkan integriti. "Kita sudah berkuasa di beberapa negeri, dan ramai pemimpin yang memegang jawatan kerajaan. Tanpa perlu diminta, biarlah kita menunjukkan teladan dengan secara sukarela membuat perisytiharan aset, agar nampak kita berpegang dengan ketelusan dan transparensi," hujahnya.

Di Amerika Syarikat, calon-calon yang bertanding akan meneliti borang perisytiharan sesama sendiri dan menjadikannya isu jika ada calon yang hidup mewah di luar kemampuannya. Borang yang menghendaki perisytiharan tentang sumbangan dan perbelanjaan kempen juga tidak terkecuali.

Jika ada calon mendakwa hanya menerima sumbangan sederhana tetapi menaiki jet sewa dan tinggal di hotel mewah, maka calon saingan akan menjadinya isu. Terdapat juga kumpulan masyarakat sivil yang memeriksa borang dan laporan tentang ahli politik yang membuat perisytiharan meragukan.

Wajar sekali pemimpin dan kerajaan Pakatan Rakyat sedaya mungkin membuktikan bahawa dengan keterbatasan ruang lingkup yang ada, mereka secara jujur mahu mempraktikkan segala amalan mulia yang dilaungkan. Akhlak, integriti dan etika menjadi budaya hidup dalam menerajui amanah rakyat.



Kelak akan tampil menyerlah perbedaan nyata sosok tubuh dan perwatakan seorang ahli politik Pakatan Rakyat (khususnya PAS) dengan Barisan Nasional, setelah terbukti berjaya melepasi godaan kuasa yang menggila itu.