Khamis, 3 November 2011

Untuk Usahawan2 di Negeri Kedah

Dapatkan pinjaman dari Tabung Usahawan PKNK

http://wartakedah.net/images/stories/OKTOBER2011/kuih%20tra.jpgKODIANG – Mana-mana usahawan yang ingin memperluaskan bidang perniagaan mereka, bolehlah membuat pinjaman daripada Tabung Usahawan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, pihak PKNK turut menyediakan pinjaman maksimum sebanyak RM50,000 dan usahawan terbabit perlu menyediakan kertas kerja terlebih dahulu sebelum membuat pinjaman.

“Industri kecil yang melibatkan pengeluaran produk industri kecil dan sederhana (IKS) iaitu kuih tradisional merupakan salah satu industri yang mampu menjana pendapatan bagi usahawan kecil terutama di kampung-kampung,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan bagi meninjau perkembangan perusahaan menghasilkan kuih tradisional di Kampung Manggol Bongor, Megat Dewa, di sini.

Menurutnya, Kerajaan Negeri ingin melihat ramai usahawan Bumiputera berjaya dilahirkan dalam bidang perniagaan walaupun secara kecil-kecilan.

http://wartakedah.net/images/stories/OKTOBER2011/kuih.jpg“Minat dan kesungguhan adalah matlamat utama untuk berjaya dalam bidang perniagaan kerana ia mampu menjana pendapatan yang lumayan serta berupaya meningkatkan taraf ekonomi penduduk,” katanya.

Menteri Besar memberitahu, bagi mereka yang ingin menceburkan diri dalam bidang keusahawanan, bolehlah menghubungi pihak PKNK untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Ini merupakan peluang terbaik untuk usahawan-usahawan membina perniagaan sendiri dan ia secara tidak langsung mampu memberikan kesan terbaik kepada ekonomi negara,” ujarnya.

Tambahnya, setiap usahawan diharap dapat berhubung dengan pihak PKNK dan Jabatan Pertanian dalam memasarkan produk mereka ke pasaran terutama dari segi pembungkusan dan pelebelan.

“Kita ingin menjadikan produk seperti menghasilkan kuih tradisional sebagai satu jenama yang terbaik serta mampu menembusi pasaran negara dan juga antarabangsa,” katanya.

Seramai enam orang penduduk Kampung Manggol Bongor menjalankan perusahaan menghasilkan kuih tradisional seperti bahulu, kuih bakar, peneram, karas, kuih lapis dan kuih kacang.

Menteri Besar juga turut mengadakan lawatan ke Kampung Telok Berangan, Mukim Gelong, di sini bagi meninjau perusahaan menghasilkan biskut pelbagai jenis seperti tat nenas gulung, biskut Mawi, kuaci pistachio, shortbread, almond London dan macadamia flake yang diusahakan oleh Hajah Suzalina Haji Awaludin, 45 tahun.

Kesungguhan yang ditunjukkan oleh Hajah Suzalina mampu memberi perangsang kepada usahawan-usahawan di negeri ini untuk memperkembangkan perniagaan mereka walaupun pada awalnya hanya secara kecil-kecilan.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pembangunan Usahawan, YB. Abdul Ghani Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, YB. Dato’ Ir. Amiruddin Hamzah serta Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Kedah, Encik Ismail Salleh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan