Khamis, 4 Februari 2010

Datuk kita adalah ikutan terbaik

Salam Kamunting,

Datuk kita, Ibrahim 'alaihissalam adalah seorang rasul. Baginda diutuskan ke bumi oleh Allah taala ribuan tahun yang lampau, satu jarak masa yang panjang yang penuh teka teki dalam mengenal sejarah ketamadunan manusia. Pengkisahan al Quran tentang datuk kita ini begitu banyak membantu pengkaji sejarah mengenali perjalanan kehidupan dan tamadun manusia sebelum dan selepasnya.

Salah satu mukjizat al Quran adaaalah sejarahnya yang benar, hidup dan sarat pedoman.

Bukanlah perjalanan datuk kita itu sealkisah dengan perjalanan sejarah cucunya Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam. Nabi Ibrahim sampai wafatnya hidup tanpa penyokong yang ramai. Berbeza sekali dengan cucunya yang agung, nabi kita yang mana di Hajjat al wada' di hujung hayatnya telah berjaya untuk bersama lebih 100 ribu sahabatnya yang bersiap siaga menggempur demi dakwah dan perjuangannya.

Datuk kita pernah membisikkan pada isteri kecintaannya bahawa tiada di dunia yang menyembah Allah yang esa hari ini selain hanya mereka berdua! Ah, bagaimana mampu dibayangkan kemuliaan datuk kita ini apabila Allah memilih mereka berdua untuk bercerita mengenai manusia seluruhnya pada masa itu. Inilah seorang insan yang berjalan di bumi dan Allah hanya memerhatikannya tanpa jutaan manusia yang lain. 

Jutaan manusia adalah buih dan sampah yang hanyut dan hilang, sedang datuk kitalah yang kekal dan berguna untuk menyambung hayat manusiawi. Syirik adalah kebatilan yang sifatnya adalah lenyap tanpa kesan. Tauhidlah yang kekal berguna buat kehidupan manusiawi.

Allah menguji datuk kita dengan pelbagai ujian dan Allah meluluskannya dengan izin dan kekuatanNya jua. Dalam hidup tanpa pengikut dan pendukung yang ramai, baginda dilantik oleh Allah menjadi imam kepada seluruh manusia.

Baginda diuji untuk mendepani ayahnya, pengukir dan penjual patung berhala. Baginda diuji untuk berhadapan dengan raja Namrud yang maha zalim. Baginda juga dicampakkan ke lubang api yang besar. Pelbagai ujian melanda baginda sehinggalah ia memuncak dengan sebuah pengorbanan yang tak terfikir oleh kita apabila Allah menuntutnya menyembelih anak kecintaannya sendiri, Ismail alaihis salam.

Baginda tanpa ragu dan syak telah melaksanakannya dengan jayanya. Datuk kita adalah hamba Allah yang agung.

Allah sentiasa memuji datuk kita dengan puji – pujian yang menghangatkan iman di dada untuk kita terus mencontohinya. Allah berfirman:

"Sesungguhnya untuk kamu adalah contoh yang baik pada diri nabi Ibrahim dan orang – orang bersamanya ketika mana mereka berkata kepada kaum mereka, sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah. Kami kufur terhadap kamu dan nyatalah perseteruan dan kebencian di antara kami dan kamu.." –  al ayat (al Mumtahanah:4).

Banyak – banyak pedoman daripada datuk kita Ibrahim alaihissalam, pernyataan tauhidlah yang paling utama. Sesungguhnya semua cerita mengenai Ibrahim adalah pedoman yang akan menyuluhi hidup kita.

Ibadah haji adalah kefardhuan yang dikaitkan dengan sejarah agung datuk kita. Di musim haji, para jemaah haji akan diajak mengenang pengorbanan hebat datuk kita. Sementara kita di tanah air tidak dibenarkan selain untuk bersama mengingati datuk kita juga. Hari raya korban adalah kisah Ibrahim alaihissalam yang berjaya melepasi ujian agung tuhannya.

Jika anda mengikuti sirah datuk kita, kita akan menemui beberapa pedoman yang hebat, antaranya:

1) Berani 2) Sentiasa mencari kebenaran 3) berkata benar 4) tidak menghiraukan hiruk pikuk kata nista dan persepsi buruk manusia 5) sabar 6) bertaubat 7) tidak mengharap pujian manusia.

Hari ini adalah hari terakhir kita berhari raya korban. Marilah bersama mendukung ajaran nabi Ibrahim alaihissalam.

Jangan takut berkata benar. Jangan hirau persepsi manusia. Jangan takut kehilangan jika berganti kebenaran. Sentiasa mengajak manusia menginsafi kebenaran dan menikmati manisnya.

Jika anda ditanya, tak takut kalahkah? Jawablah, Islam adalah kemenangan. Jika Islam, ia takkan kalah!

Nik Abduh.wordpress.com.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan