Durian Runtuh : RM1,689 bilion datang dari mana?
Mazlan Aliman
'Durian runtuh' yang diumumkan YAB Perdana Menteri di Felda Jengka 8
hari ini sangat di alu-alukan. Namun tidak memeranjatkan saya. Ia telah
dimaklumkan 4 hari yang lalu kepada saya dan telah pun saya sebut dengan
tepat dalam kenyataan media saya dan di ulang dalam ceramah-ceramah
saya.
Meskipun jumlah 1.689 bilion yang diagihkan kepada 112,635
orang peneroka Felda adalah agak besar, tetapi tidaklah sampai 'peneroka
tersandar dalam kejutan' seperti PM katakan sebelum ini di Felda Triang
3, Bera. Ia diberi dalam tiga fasa untuk Peneroka, Penerokawati dan
Generasi Kedua. Bonus Khas dua bulan setengah gaji untuk 23 ribu
kakitangan Felda sesuatu yang tidak berbaloi dengan pengorbanan mereka
lebih 25 tahun berkhidmat dengan Felda.
ANAK tidak pernah menolak
sebarang pemberian atau insentif yang mahu diberikan kepada para
peneroka. Tetapi biarlah kita berhujah secara matang. Kenapa baru
sekarang setelah lebih 55 tahun Felda ditubuhkan?
Adakah ini sandiwara politik kerana bimbang akan senario perubahan sikap warga Felda kepada Barisan Nasional?
Siri-siri
saman di Kemahang 3, Gugusan Serting, Bera, Jengka, Maokil dan yang
terkini di Gugusan Chini, kawasan Parlimen Pekan; tempat PM sendiri?
Gelombang
kebangkitan anak-anak muda Felda dapat disaksikan melalui sokongan
mereka bersama program-program ANAK dan ceramah Pakatan Rakyat. Saya
yakin ini dalam makluman PM dan membimbangkan beliau. 54 Parlimen yang
ada Felda adalah kubu terakhir BN.
Walau bagaimanapun, memandang kehadapan; adakah berbaloi gula-gula one off seperti ini?
Berapa lama lagi BN nak bermain politik dengan taktik lama untuk mendodoikan rakyat agar terus menyokong mereka?
Atau;
ini dilakukan untuk 'menutup mulut' peneroka agar jangan mempersoalkan
keghairahan Kerajaan menyenaraikan Felda Global Venture di Bursa
Malaysia?
Penipuan mereka melalui 7 buah Bank iaitu
CIMB,BIMB,Maybank, OCBC, Am Islamic Bank, Muamalat dan Affin Bank yang
diperalat membiayai pinjaman tawaran saham FGVH sangat ketara. Borang
pinjaman yang dikosongkan jumlah pinjaman, interest 5 peratus, borang
dalam bahasa Inggeris, tidak ditaklimatkan isi kandungannya dan tidak
dinyatakan risiko kerugian seperti 'Surat Tanggung Kerugian' adalah
antara penipuan dan pengkhianatan kepada para peneroka!
125
peneroka Felda adalah sebahagian daripada ribuan lagi peneroka yang
telah tertipu kerana menandatangani Borang Perjanjian Pinjaman yang
mereka tidak tahu apa-apa. Mereka tidak dapat membezakan antara 'durian
runtuh' dengan pinjaman saham FGVH. Mereka memfailkan Injunksi di
Mahkamah Tinggi Seremban semalam kerana teramat bimbang daripada risiko
pinjaman yang boleh sahaja TERGADAI aset mereka.
Perdana Menteri
beri jaminan tanah peneroka tidak akan tergadai. Adakah PM tidak membaca
hampir 70 mukasurat dalam Borang Pinjaman FGVH yang secara jelas
dinyatakan dengan terperinci nasib peneroka jika harga saham merudum dan
segala risiko di tanggung Peneroka?
Adakah PM tidak mengambil
iktibar nasib Felda Cahaya Baru, Felda Sg Buaya, Felda Labu Johnson dan
Sendayan yang hilang tanah mereka dan hidup menderita seperti pepatah '
menang sorak kampung tergadai'?
Mana pergi pemimpin BN tatkala
Amanah Saham Negeri-negeri gulung tikar hingga menyebabkan rakyat hilang
harta dan diisytiharkan muflis kerana meminjam bank untuk melabur?
Amanah
Saham Johor adalah bukti yang amat jelas. Adakah PM, Ahmad Maslan dan
Isa Samad boleh beri jaminan bertulis yang saham FGVH tidak rugi
sepertimana nasib pelabur Amanah Saham Negeri-negeri dan juga
saham-saham lain seperti KUB, BERNAS dsbnya?
PM tidak perlu sebut
' haram jadah' yang di ulang dua kali dalam ucapannya tadi kalau dia
rasional. Datuk Ahmad Maslan tidak perlu hentam dan cabar saya seperti
diungkapkannya tadi. Kenapa terlalu marah hingga tega memaki hamun di
hadapan khalayak ribuan warga Felda.
Sebagai pemimpin biarlah
ada wawasan. Peneroka Felda sudah ada tanah dan rumah. Untuk survive,
telah memadai. Daripada 1.6 juta warga Felda, 65 peratus adalah generasi
kedua. Ini tempoh peralihan yang sangat kritikal untuk mereka.
Mana dia halatuju anak muda Felda?
Perumahan
mereka, pendapatan yang lebih stabil atau mereka cuma penonton yang
melihat para kroni pemimpin BN memunggah kekayaan setiap hari?
Fikir dulu mana rumah Generasi Ke 2 daripada beri peruntukan RM5 ribu untuk orang lain.
Tidakkah kewujudan Techno Plant Sdn adalah untuk tembolok pemimpin Umno?
Sama
juga wujudnya Felda Global Venture bagi tujuan memindahkan harta
peneroka berbilion ringgit untuk digunakan UMNO/BN bagi PRU 13?
Saya cabar PM umum peruntukan RM1,689 bilion datang dari mana?
Berapa
yang kroni bayar kepada Isa Samad, Sabri Ahmad, adik PM Nazir
Razak(CIMB)para penasihat umpamanya Omar Ong (Ethos) dan lain-lain?
Mereka
ini ibarat Sadeq Sigara dalam Filem 3 Abdul yang membuat untung dengan
menipu peneroka... akhirnya peneroka dilelong dengan harga yang murah!
ANAK
konsisten dengan perjuangan bagi kehidupan Generasi Kedua Felda. Para
cendekiawan, intelektual dan umumnya anak-anak peneroka bersedia untuk
menerajui perubahan di Felda. Seharusnya mereka di beri peluang
merencana transformsi di Felda.
Kenapa Isa Samad dilantik PM sebagai Pengerusi Felda?
Mana perginya karisma puluhan ribu cerdik pandai anak-anak peneroka?
Tidak layakkah mereka jadi Pengerusi Felda dan memegang jawatan penting dalam Anak-anak Syarikat Felda?
Kenapa semuanya dibolot Isa Samad dan kroni-kroninya?
Seharusnya
halatuju Felda diterajui oleh Anak Felda. Penambahbaikan Koperasi
Felda, pengendalian kebun peneroka, aktiviti tanam semula, pembangunan
infrastruktur, pengembangan Anak-anak Syarikat dll berilah kepercayaan
dan amanah ini kepada mereka. Bukan diterajui oleh ' para lanun' yang
tidak ada seinci tanah pun di Felda!
Pengumuman PM bukan suatu
Transformasi. Sebenarnya beliau dan pemimpin BN lah 'jaguh kampung' yang
tidak punya kreativiti strategik. ANAK dan Pakatan Rakyat menawarkan
gagasan seperti Buku Jingga yang bersifat menyeluruh untuk tempoh yang
panjang.
Pengagihan Tanah Felda Plantation, penubuhan Universiti
Felda, Kouta penguasaan Anak Peneroka dalam Anak-anak Syarikat Felda;
hakikatnya inilah pemikiran global yang menjanjikan kehidupan lebih
meyakinkan untuk Anak-anak peneroka Felda.
Bagi saya, pengumuman
PM tidak lebih untuk mengekalkan kuasa politik BN di Felda semata-mata.
Ia mungkin menyukakan peneroka tetapi amat mengecewakan anak muda Felda.
Generasi ke 2 dan ke 3 akan terus termenung panjang memikirkan nasib
mereka pada hari-hari mendatang yang kian samar. Sumber
Tiada ulasan:
Catat Ulasan