Selasa, 8 Mei 2012

Kerajaan Negeri sediakan RM20,000 sehektar untuk pulih tanah terbiar.

JITRA - Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM20,000 bagi setiap hektar tanah untuk projek pemulihan tanah terbiar di negeri ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perumahan, Kerja Raya, Pertanian dan Industri Asas Tani serta Bioteknologi, YB. Dato’ Ir. Amiruddin Hamzah, projek pemulihan tanah terbiar bagi Mukim Padang Perahu dalam Daerah Kubang Pasu turut dijalankan dalam usaha meningkatkan pengeluaran hasil pertanian.
“Tanah-tanah terbiar ini boleh diusahakan dengan tanaman jagung dan Pengerusi serta Setiausaha Majlis Ketua Kampung/Komuniti (MKK) boleh berjumpa dengan Pegawai Pertanian untuk berbincang dan memohon peruntukan bagi menjalankan projek berkenaan sebelum Kerajaan Negeri memproses permohonan itu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Elaun Pengerusi dan Setiausaha MKK Daerah Kubang Pasu di Dewan Utama, Kompleks Pentadbiran Daerah Kubang Pasu, di sini.
Amiruddin memberitahu, Kempen Pemulihan Dusun secara berkelompok turut dijalankan iaitu di Wang Tepus dalam Daerah Kubang Pasu.
“Bagi pokok buah-buahan seperti rambutan dan durian yang mempunyai dahan yang begitu banyak, pengusaha dusun boleh melakukan pemangkasan di bahagian atas pokok berkenaan bagi membolehkan pokok itu mengeluarkan tunas yang baru,” katanya.
Untuk pokok durian, ujarnya, cantuman tunas dengan varieti klon baru seperti Musang King dan Udang Merah boleh dilakukan dan pokok berkenaan mampu mengeluarkan buah dalam masa tiga tahun.
Tambahnya, Kempen Satu Rumah 10 Pokok Buah-buahan turut dijalankan di Daerah Pendang dalam usaha menjadikan kawasan perumahan dipenuhi dengan pokok buah-buahan seperti nangka madu dan kelapa matg.
“Sekiranya kawasan rumah ditanam dengan pokok buah-buahan, ia secara tidak langsung mampu menjana pendapatan,” katanya.
Beliau menjelaskan, Pengerusi dan Setiausaha MKK boleh berbincang dengan Pegawai Daerah sekiranya mereka ingin melaksanakan projek berkenaan di kampung mereka.
Dalam majlis itu, seramai 240 Pengerusi MKK dan seramai 238 Setiausaha MKK dalam Daerah Kubang Pasu menerima elaun masing-masing bagi bulan Januari hingga Mac 2012.
Bagi Pengerusi MKK, mereka menerima elaun sebanyak RM300 sebulan manakala Setiausaha MKK sebanyak RM200 sebulan.
Majlis penyampaian elaun berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perumahan, Kerja Raya, Pertanian dan Industri Asas Tani serta Bioteknologi, YB. Dato’ Ir. Amiruddin Hamzah serta Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Insan dan Usahawan, YB. Abd Ghani Ahmad.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan